Sunday, July 20, 2008

Pelancaran Pemulihan Projek Perumahan Taman Pekatra

Ucapan YB Wong Hon Wai, EXCO Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan di Simpang Empat, Seberang Perai Selatan, pada 20 Julai 2008
--------------------------------------------------------------------------

Pelancaran Pemulihan Projek Perumahan Taman Pekatra Indah, SPS


Pagi ini kita berkumpul di sini ialah untuk majlis pelancaran pemulihan projek perumahan Taman Pekatra Indah, Simpang Ampat, Seberang Perai Selantan.

Projek Perumahan Taman Pekatra Indah telah terbengkalai sejak 12 tahun yang lalu. Hari ini, pembeli-pembeli projek ini boleh menarik nafas lega kerana Simcity-Ete Venture Sdn Bhd bersetuju untuk membaik pulih 611 unit rumah selepas pemaju asal memberi persetujuan supaya syarikat ini menguruskan kerja pemulihan.

Pada peringkat permulaan, 54 daripada 94 unit rumah dua tingkat jenis Anggerik sudah dipulihkan awal Jun tahun ini dan Sijil Layak Menduduki (CF) bakal diperolehi Disember ini, manakala baki 40 unit lagi akan dipulihkan selepas 54 kediaman itu diduduki.

Taman Pekatra Indah telah dimulakan pada tahun 1996 dan pemaju asal ialah Koperasi Pembangunan Kampung Traditional (Pekatra) Tasek Berhad dan digabung dengan Penyelaras Projek (Project Co-ordinator), Multi-Tracks Properties Sdn Bhd (Ahli Kumpulan CRSC).

Namun, projek perumahan ini tidak dapat disiapkan mengikut jadual. Sejak tahun 2003, pemaju asal telah menamatkan kontrak dengan Multi-Tracks Properties Sdn Bhd dan bekerjasama dengan pemaju lain untuk membangunkan projek ini, tetapi kini dengan usaha semua pihak yang berkenaan, projek perumahan Taman Pekatra Indah akan dipulihkan oleh Simcity-Ete Venture Sdn Bhd.

Taman Pekatra Indah merupakan salah satu daripada sejumlah 26 projek-projek perumahan yang bermasalah atau terbengkalai yang disenarai untuk pemantauan rapi oleh kerajaan negeri.

Daripada sejumlah 26 projek-projek perumahan yang bermasalah atau terbengkalai yang dipantau oleh kerajaan negeri, sejumlah 6 projek telah berjaya memperolehi Sijil Kelayakan Menduduki (OC), iaitu :-

Projek Daerah Tarikh OC
i) Taman Seri Semarak Timur Laut 14-1-2008
ii) Taman Malwira Seberang Perai Tengah 20-6-2008
iii) Taman Sri Idaman Timur Laut 4-4-2008
iv) Taman Widuri Seberang Perai Selatan 29-2-2008
v) Taman Haji Abdullah Fahim Seberang Perai Utara 10-10-2007
vi) Taman Hijau Timur Laut 22-8-2007

2 projek sedang dalam proses permohonan Sijil Kelayakan Menduduki, 9 projek sedang berjalan , 8 projek masih menghadapi masalah, 1 lagi projek telah siap tetapi hakmilik tidak dapat diserahkan kerana pemaju asal telah membawa kes ke mahkamah.

Kuasa untuk melesenkan dan mengawal pemaju-pemaju perumahan adalah terletak dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Kerajaan Persekutuan melalui Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966. Kawalan kerajaan negeri terhadap pemaju adalah secara tidak langsung melalui kawalan pemajuan oleh pihak berkuasa tempatan. Demi menjaga kepentingan rakyat, kerajaan negeri memainkan peranan untuk membantu memulihkan projek-projek terbengkalai melalui langkah-langkah berikut:-

(i) mengadakan mesyuarat penyelarasan dan membawa untuk rundingan pihak-pihak terlibat iaitu pemau atau syarikat penyelamat, bank pembiaya, tuan tanah, pembeli, agensi-agensi teknikal dan sebagainya;

(ii) memudah dan menyegerakan pemeprosesan pelan-pelan pembangunan; dan

(iii) memberi pengecualian sumbangan tertentu atau pengecualian syarat-syarat tertentu.

Walau bagaimanapun, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk mencegah dan menbantu menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh pemaju dan pembeli. Antara lain pemantauan projek, khususnya projek mampu milik, akan dibuat dengan lebih rapi lagi agar projek yang bermasalah dapat dikenalpasti seawal yang mungkin dan tindakan pembetulan diambil. Pemaju-pemaju yang dibuktikan bermasalah akan disenarai hitamkan. Perbincangan akan terus diadakan dengan persatuan pemaju perumahan untuk mencari penyelesaian yang terbaik kepada masalah-maslah yang dihadapi oleh industri pembinaan.

Sekian, terima kasih.

No comments: